Jodoh
seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah
ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya
agar berusaha. Carilah
jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa
jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila Itu bukan rezeki kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya
usaha. Jadi,
berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib
menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.
“Dulu
saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya,” kata seorang abang yang
sangat saya hormati.
“Pelik
tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?”
“Ikut
pilihan guru agama yang mengajar saya,” jawabnya pendek.
“Mengapa
tidak mau melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh
syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook
dan Twitter?” gurau saya.
“Memang
belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi
sebenarnya ada sebab lain…”
Dalam
diam, saya rasa heran. Saya pandangi wajahnya. Dia orang
yang sangat saya hormati, kepimpinannya sangat menawan
hati. Tentu ada sebab beliau bersikap
demikian.
“Sebelum
aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan
cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi,” jelasnya dengan tenang.
“Habis
mengapa putus?”
“Kami
putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama dalam perjuangan Islam
ini tetapi dia nyaman dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami
berpisah setelah 10 tahun bercinta.”
Wah,
ini kisah cinta yang dramatis! Saya tidak sangka sama sekali dia yang
selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi
cinta.
-Isteri Amanah-
“Itu
kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang
sekarang?” kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.
“Setelah
putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan
dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta.”
“Tetapi
mengapa abang tidak mau melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?”
“Itu
keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan.
Tidak mahu, tidak mengapa.”
“Dan
abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?”
“Eh,
kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat
cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan.
Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah
terus tanpa melihat wajahnya.”
Saya
terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, “Tetapi abang akan
terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang
akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan
datang juga.”
Sekali
lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati,
saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.
“Amat
jauh bedanya antara membandingkan wanita lain dengan
bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi…”
Pendek
dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia
menyambung, “Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita
yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib
kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang
ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas
nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah
menjadi soal kedua.”
-Cantik Itu Relatif dan Subjektif-
“Abang
tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita
rasa abang? Maksudnya, er… er… kita masih manusia bukan?” saya menduga hatinya.
Dia
ketawa tiba-tiba.
“Ya,
kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan
khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu.
Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita,
tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya.”
“Jadi,
untuk itu kecantikan tidak penting?”
“Semua
yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa
yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba
Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak
mendapat yang baik, bukan begitu?”
“Bukan
yang cantik?” jolok saya lagi.
“Cantik
itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder,
bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga
berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan
lebih kekal sifatnya,” balasnya dengan yakin.
“Maksud
abang?”
Dia
diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk
menterjermahkan bahasa rasa.
“Kecantikan
seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai
kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya
fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.”
Ketika
saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, “Cantik juga relatif mengikut keadaan.
Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah
dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak
manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami.”
“Oh,
betul juga tu!” kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering
mengeluh tentang isterinya, “Sedap di mata tetapi sakit di hati…”
-Wasilah Memilih Jodoh-
“Bagaimana
sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?” ujar saya dengan pertanyaan nakal.
“Memang
dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja.”
“Maksudnya
yang dulu lebih cantik?”
“Kamu
ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang
biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama
dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin
terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?”
Wah,
dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.
“Apa
kaitannya dengan hati?” layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah
daripadanya.
“Kalau
hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati
rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau
kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi.
Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang
fatamorgana!”
‘Ah,
tentu dia bahagia kini!’ bisik hati saya sendiri.
“Apa
panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?”
“Pilihlah
jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan
mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang
baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita.”
-Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang
Baik-
“Tapi
bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita
menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu
lain sekalipun mereka orang yang baik-baik.”
“Tak
mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik.”
“Itu
susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang
panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau
belum.”
Abang
tersenyum lantas berkata, “Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?”
Saya
diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para
remaja di luar sana.
“Kedua-dua
cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang
yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui
pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil
mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh
orang yang baik!”
Wah,
kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.
“Tetapi
ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?”
“Kerana
mereka bukan orang baik,” jawabnya pendek.
“Bukan,
bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?”
“Ya,
tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah
yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau
menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w.”
“Apa
hikmah di sebalik kisah itu bang?”
“Kita
boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak
yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan
orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah
berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah
sebaliknya?”
Saya
terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah
itu.
-Jodoh Urusan Allah-
“Dan
mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih
calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat
membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk
menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat.”
“Bagaimana
pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu
bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?”
tanya saya inginkan penjelasan muktamad.
“Itulah
takdir! Mungkin Allah menentukan ‘orang baik’ lain sebagai jodohnya. Sementara
orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang
lain pula!”
Tiba-tiba
saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri
Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah
bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam
kalangan orang yang baik!
“Jodoh
itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu
dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh
yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat
pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan
Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah.”
“Apa
hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?”
“Eh,
abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah
dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi.”
“Hikmah
untuk kita?”
“Jika
takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah
berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan
orang yang baik, tetapi jika takdirnya
pasangan kita bermasalah… bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah
jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah
pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang
isteri bernama Siti Asiah.”
Tok,
tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak “abang
bayangan” saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang.
Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati
sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?
Ah,
hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis
dahulu: “Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa
dia setelah menikah denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk
wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di
pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!”
-Nota hati-
Pulang
dari Kelantan hujung minggu lalu dengan badan yang sarat dengan keletihan.
Namun hati dan fikiran sarat dengan iktibar dan pengajaran.
Berlegar
di sekitar kuliah Hari Jumaat di bandar KB, mendengar. merasa dan melihat. Yang
indah, bukan tanahnya, tetapi manusia yang menegakkan hukum Allah di atasnya.
Mungkin
sesuatu yang kelihatan sederhana pada pandangan mata, tetapi sangat cantik bila
dipandang dengan mata hati. Begitulah rasa hati… semoga kita semua kembali
kepada Ilahi, kerana di sana ada keindahan yang hakiki dan abadi.
Berfikir
tentang jodoh anak-anak, adalah satu cabaran yang dipenuhi pelbagai misteri. Ia
sukar ditebak dan diduga. Namun, pesan saya cuma satu… untuk anak sendiri dan
anak-anak di luar sana, ikutlah syariat, pasti selamat. Islam itu sejahtera.
Tidak ada kebahagiaan tanpanya.
Ya,
kesalahan dan kesilapan boleh berlaku –
ada ampun, maaf dan taubat di situ. Namun mukmin sebenar tidak akan
jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Cukup hanya sekali… pertama, kerana
kejahilan. Maka belajarlah. Kalau kedua, itu kerana kedegilan. Hubaya-hubaya,
kekadang harga yang ditagih untuk ‘membetulkannya’ terlalu pedih dan
menyakitkan.
Belajarlah
melakukan yang benar dan betul buat pertama kali. Itu yang terbaik. Tetapi jika
tidak, cubalah membetulkannya buat kali kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan
jemu untuk cuba melakukan yang terbaik, kerana kata bijak pandai: Kebaikan itu
perlu dimulakan berkali-kali!
-ustad pahrol mohamad juoi-
0 komentar:
Posting Komentar