Berbicara tentang
rindu dan cinta, tidak dapat lari daripada soal hati dan rasa. Ya, rindu dan
cinta letaknya di hati – raja dalam kerajaan diri manusia. Sabda Rasulullah
saw:
“Bahawasanya di
dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah
seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh
anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.” Riwayat Al-Bukhari
Ini bermakna,
rindu dan cinta yang harus bersemi di hati mestilah rindu dan cinta yang
‘baik’. Barulah hati akan menjadi baik, dan seluruh anggota jadi baik. Tapi
jika rindu dan cinta itu ‘jahat’ maka jahatlah hati. Akibatnya jahatlah seluruh
anggota. Kata orang, “berhati-hatilah menjaga hati.” Jangan dibiarkan hati itu
penuh dengan rindu dan cinta yang salah… akibatnya terlalu buruk.
Umpama menyerahkan
kepimpinan negara kepada seorang yang jahat. Kita tentu tahu apa akibatnya
bukan? Pemimpin yang jahat akan melakukan kemungkaran, penzaliman, rasuah dan
lain-lain kejahatan yang akan menghancurkan sebuah negara. Maka begitulah hati
yang jahat, akan menyebabkan seluruh diri kita terarah kepada kejahatan. Jadi,
berhati-hatilah menjaga hati dengan berhati-hati memberi cinta dan rindu.
Sebenarnya, pada
siapa kita harus cinta? Pada siapa kita mesti rindu? Mungkin ada diantara kita
yang tertanya-tanya. Pada kekasih hati? Atau si dia yang sentiasa diingati. Oh,
bukan, bukan… Sebenarnya hati setiap manusia secara fitrahnya mencintai dan
merindui Allah. Kenapa dikatakan begitu? Dan benarkah begitu? Baiklah, mari
kita fikirkan dan renungkan bersama…
Setiap hati
inginkan kasih-sayang, keadilan, kekayaan, keindahan dan lain-lain sifat yang
mulia, baik dan sempurna. Tidak ada seorang manusiapun yang tidak inginkan
kebaikan, kemuliaan dan kesempurnaan. Ketika dilanda kemiskinan, manusia
inginkan kekayaan. Ketika dipinggirkan, kita inginkan kasih-sayang. Ketika
dizalimi, kita inginkan keadilan. Baiklah, hakikat itulah bukti yang sebenarnya
manusia cinta dan rindukan Tuhan. Justeru, Tuhan sahaja yang memiliki
segala-gala yang diingini oleh manusia.
Bukankah Allah
memiliki kekayaan yang diingini oleh si miskin? Allah mempunyai kasih sayang
yang diidamkan oleh mereka yang terpinggir. Allah Maha Adil dan mampu memberi
keadilan yang didambakan oleh yang tertindas. Oleh kerana itulah Tuhan
mempunyai nama-nama yang baik (Asmaul Husna), yang menggambarkan keindahan,
keadilan, kasih-sayang yang segala sifat kesempurnaan-Nya. Diantara nama-nama
Allah itu ialah Al Adil (Yang Maha Adil)? Al Ghani (Maha Kaya)? Ar Rahman (Maha
Pengasih)? Dan Ar Rahim (Maha Penyayang)?
Sebutlah… apa
sahaja keinginan manusia tentang kebaikan dan kesempurnaan, maka di situ
sebenarnya (secara langsung ataupun tidak), manusia sedang merindui dan
mencintai Allah. Inilah rasa yang tidak dapat dihapuskan. Selagi manusia punya
hati dan perasaan. Rasa bertuhan inilah yang menurut Imam Ghazali, tidak akan
dapat dinafikan oleh hati sekalipun kerap dinafikan oleh sifat keegoan manusia.
Inilah benih rindu
dan cinta yang telah dibina (‘install’) secara fitrah (tabie) dalam diri setiap
manusia sejak di alam roh lagi. Firman Allah:
“Bukankah aku ini
Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami)
menjadi saksi.” Al-A’raf
: 172
Jadi sedarlah.
Apabila hati kita resah dan gelisah inginkan pembelaan, hakikatnya pada ketika
itu hati kita sedang merindui yang Maha Adil. Ketika kasih-sayang terputus atau
cinta terkandas, kita inginkan sambungan… maka ketika itu sebenarnya kita
sedang merindui Ar Rahman dan Ar Rahim (Allah Yang Maha Pengasih dan
Penyayang). Ketika bersalah, kita merintih inginkan keampunan dan kemaafan,
maka pada saat itu kita sebenarnya merindui Al Ghafar (Pengampun) dan mencintai
Al Latif (Maha Lembut).
Semua keinginan
itu hanya akan dapat dipenuhi apabila manusia merapatkan dirinya kepada Allah.
Allah yang punya segala-galanya itu. Allah sentiasa mahu dan mampu memberi apa
yang diinginkan oleh setiap manusia. Firman Allah:
“Dan Tuhan kamu
berfirman: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan. Sesungguhnya orang
yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan
neraka Jahanam dalam keadaan hina.” Al-Mukmin : 60
Menerusi nama-nama
Allah yang baik inilah seharusnya kita merintih, merayu dan memohon kepada
Allah. Firman Allah:
“Allah memiliki
Asmaa’ ulHusna, maka memohonlah kepadaNya dengan menyebut nama-nama yang baik
itu…” Al
A’raaf : 180
Manusia hakikatnya
tidak punya apa-apa yang diingini oleh manusia lain. Mereka mungkin mahu
memberi, tetapi tidak mampu. Ada pula yang mampu memberi tetapi tidak mahu
melakukannya. Mungkin hartawan punya harta, tetapi dia tidak punya sifat
pemurah. Mugkin ada si miskin punya hati yang pemurah, tetapi tidak memiliki
harta yang dipinta oleh si miskin yang lain. Tegasnya, manusia tidak sempurna.
Hanya Tuhan yang mempunyai segala apa yang diinginkan oleh seluruh manusia.
Ya, ditegaskan
sekali lagi bahawa keinginan manusia kepada satu kuasa yang Maha sempurna ini
adalah lanjutan daripada ‘perkenalan’ dan ‘percintaan’ manusia dengan Allah di
Alam Roh lagi (yakni alam sebelum alam dunia ini) . Bukankah sejak di alam roh
lagi manusia telah mengetahui dan mengakui akan kewujudan dan keagungan Allah.
Firman Allah:
“Bukankah aku ini
Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami)
menjadi saksi.” Al-A’raf
: 172
Itulah pertanyaan
Allah sekaligus keakuran roh manusia atas pertanyaan itu. Ya, ketika itu semua
roh manusia telah mengenali Allah. Bukan itu sahaja, bahkan roh manusia telah
mengakui Allah sebagai pemilik, pentadbir dan pengatur alam ini. Inilah yang
dimaksudkan cintakan Allah itu adalah fitrah setiap hati. Tetapi soalnya,
mampukah cinta itu terus suci dan abadi di dalam hati setiap manusia?
Sungguhpun begitu,
perkenalan dan percintaan manusia dengan Allah di alam roh itu kerap tercemar.
Sebaik sahaja lahir ke alam dunia, manusia yang dulunya begitu mengenali dan
mencintai Allah mula dipisahkan daripada kecintaan dan kerinduannya itu. Yang
sejati luntur, yang ilusi muncul. Perkenalan dengan Allah mula dicemari.
Manusia mula dipisahkan dari Tuhan. Dan amat malang, kerapkali yang memisahkan
anak-anak daripada Allah ialah ibu-bapa anak-anak itu sendiri. :
“Setiap anak-anak
dilahirkan putih bersih, kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi,
Majusi atau Nasrani.”
Justeru, untuk
mengelakkan agar cinta yang suci itu tidak terus dikotori… maka awal-awal lagi
apabila seorang bayi dilahirkan, dia terlebih dahulu diazankan dan diiqamatkan.
Inilah usaha awal untuk meneruskan perkenalan bayi itu dengan Allah. Tidak
cukup sekadar itu sahaja, malah para ibu-bapa juga wajib mengenalkan kepada
anak-anak mereka segala sifat kesempurnaan Allah secara mudah tetapi konsisten.
Sabda Rasululah:
“Awal-awal agama
ialah mengenal Allah.”
Alangkah indahnya
jika semua itu berjalan lancar. Sejak kecil lagi putik cinta dan rindu Allah
itu tumbuh, berbunga dan akhirnya berbuah apabila menjelang dewasa. Malangnya,
ramai anak tidak diperkenalkan kepada Allah oleh ibu-bapanya. Sebaliknya,
didedahkan kepada unsur-unsur yang melindungi kebesaran Allah. Seringkali,
didikan, ajaran, malah lagu, filem, bahan bacaan yang didedahkan kepada
anak-anak menggugat perkenalannya dengan Allah.
Akibatnya,
kerinduan dan kecintaan yang sedia ada di alam roh itu tidak bersambung, bahkan
tercemar. Cinta terputus di tengah jalan. Setiap manusia memiliki hanya satu
hati, tidak dua, tidak tiga. Bila cinta Allah dicemari, cinta yang lain datang
mengganti. Dua cinta tidak akan berkumpul di dalam satu hati. Hanya satu cinta
akan bertakhta di dalam satu jiwa. Bila cinta Allah terpinggir maka terpinggir
jugalah segala kebaikan dan kesuciannya. Maka yang tumbuh selepas itu ialah
cinta selain Allah seiring suburnya segala kejahatan dan kekejiannya!
Bagaimanakah
caranyanya membersihkan semula hati yang telah dicemari dan diracuni? Cukupkah
hanya dengan ucapan dan penyesalan? Ya, usaha untuk membersihkan hati adalah
usaha yang sukar. Tetapi hanya itulah satu-satunya jalan. Tidak ada jalan mudah
untuk mendapat cinta itu semula. Setiap cinta menagih pengorbanan. Begitulah
jua cinta Allah. Sabda Rasulullah:
“Iman itu bukanlah
angan-angan, bukan pula ucapan, tetapi sesuatu yang menetap di dalam dada, lalu
dibuktikan dengan perbuatan.”
Perjuangan itu
pahit, kerana syurga itu manis. Kecintaan kepada Allah terlalu mahal. Bayangkan
untuk mendapat cinta seorang wanita yang rupawan, jejaka yang hartawan, putera
yang bangsawan, itupun sudah terlalu sukar, maka apatah lagi untuk mendapat
cinta Allah zat yang Maha Agung dan Maha Sempurna itu.
Siapa tidak
inginkan kecantikan, harta, nama dan kuasa? Semua itu mahal harganya. Namun
semua itu tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan cinta Allah – sumber
segala kekayaan, kecantikan, kuasa dan keagungan. Cintakan gadis yang cantik,
kecantikan akan luntur. Cintakan harta yang banyak, harta akan musnah atau ditinggalkan.
Cinta pada kuasa, suatu hari pasti dijatuhkan atau berakhir dengan kematian.
Namun cinta Allah,
adalah cinta yang hakiki, sejati dan abadi. Keindahan Pencipta (Khalik) tidak
akan dapat ditandingi oleh ciptaannya (makhluk). Keagungan, kekuasaan dan
kekayaan Allah akan kekal abadi selamanya. Bila kekasih di kalangan manusia
sudah berpaling, maka sedarilah bahawa Allah tetap melihat dengan pandangan
rahmat-Nya. Apabila kita mencintai Allah, kita hakikatnya akan memiliki
segala-galanya. Inilah cinta yang tidak akan terpisah oleh kejauhan, kematian
dan kemiskinan. Sebaliknya bila kita kehilangan cinta Allah, kita sebenarnya
telah kehilangan segala-galanya.
Sekiranya kita
telah disukai oleh seorang raja, maka anda akan turut disukai oleh
pelayan-pelayannya, dikurniakan pangkat, dijamin makan-minum, bebas di bergerak
di istananya dan macam-macam lagi kurniaannya. Maka begitulah sekiranya seorang
yang mencintai Allah. Para malaikat akan menjaganya. Orang-orang soleh turut
mendoakannya. Rezkinya akan dipenuhi dengan segala kecukupan dan keberkatan.
Apa nak dihairankan? Bukankah ‘talian hayat’ kekasih-kekasih Allah ini sentiasa
terhubung kepada satu kuasa yang tiada tolok bandingnya!
Hadis Qudsi:
Allah swt
berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila
dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku
mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang
yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka
Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku
mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku
datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.” (Sahih Bukhari)
Namun begitu,
seperti yang ditegaskan sebelumnya, cinta Allah yang begitu agung dan suci,
pasti ada tagihannya. Jalan mencintai Allah tidak semudah yang disangkakan.
Sudah adat, setiap yang mahal, sukar mendapatkannya. Bandingannya seperti pasir
dengan permata. Pasir, murah harganya… kerana ia boleh dicari di merata-rata.
Sebaliknya, permata begitu tinggi nilainya, maka perlu menyelam ke dasar lautan
untuk mendapatkannya.
Tidak ada
kesukaran, tidak ada ganjaran. Begitulah jua dengan cinta Allah yang hakikatnya
jauh lebih tinggi nilainya daripada intan atau permata. Justeru, pasti ada
‘harga’ atau mahar yang mahal terpaksa dibayar untuk mendapatkannya.
Untuk mendapat
cinta Allah kita perlu berkorban. Cinta dan pengorbanan sudah sinonim dan tidak
sekali-kali dapat dipisahkan. Kita perlu membayar harga cinta itu dengan segala
yang ada pada kita – masa, tenaga, harta bahkan nyawa. Namun apa yang lebih
penting bukanlah masa, tenaga atau sesuatu yang berbentuk lahiriah. Itu cuma
lambang sahaja. Yang lebih penting ialah hati di sebalik pengorbanan itu.
Lihat sahaja hati
yang dimiliki oleh Habil berbanding Qabil dalam pengorbanannya untuk Allah.
Hati yang bersih akan mengorbankan sesuatu yang terbaik untuk Allah. Lalu
kerana ketulusan hatinya, Habil mengorbankan hasil ternakannya yang terbaik
untuk Allah. Manakala Qabil pula menyerahkan hasil pertanian yang kurang
bermutu untuk membuktikan cintanya yang tidak seberapa. Lalu ini menjadi sebab,
Allah menolak pengorbanan Qabil, sebaliknya menerima pengorbanan Habil.
Kita bagaimana?
Sudahkah kita mengorbankan segala yang terbaik hasil dorongan hati yang baik?
Ke manakah kita luangkan masa, usia, tenaga, harta kita yang terbaik? Untuk
kebaikan yang disuruh oleh Allah atau ke arah kejahatan yang dilarang-Nya?
Tepuk dada tanyalah hati, apakah ada cinta yang mendalam di dalam hati itu?
Rasulullah SAW
bersabda:
“Sesungguhnya
ALLAH tidak melihat gambaran lahir amalan kamu dan rupa kamu tapi ALLAH melihat
hati kamu”. Riwayat
Muslim
Pengabdian kita
kepada Tuhan adalah bukti cinta kepada-nya. Pepatah Arab mengatakan:
“Setiap orang
menjadi hamba kepada apa yang dicintanya.”
Maksudnya,
pengabdian adalah umpama ‘hadiah’ yang kita ingin berikan kepada Allah sebagai
bukti cinta kita. Ia mesti didorong oleh hati yang bersih. Tidak dicemari riyak
dan syirik. Maha suci Allah daripada dipersekutukan oleh hamba-Nya dengan
sesuatu. Jika amal itu dicemari oleh kekotoran hati – riyak (syirik kecil),
sifat menunjuk-nunjuk, syirik besar – mempersekutukan Allah) maka amalan itu
tidak bernilai walaupun ia seluas lautan atau setinggi gunung.
Sebaliknya, jika
hati seseorang itu ikhlas, amalnya yang sekecil manapun akan menjadi besar dan
bernilai di sisi Allah. Insya-Allah, ‘hadiah’ itu akan diterima oleh Allah.
Firman Allah:
“Barang siapa yang
ingin menemui Tuhannya, hendaklah dia beramal soleh dan tidak mempersekutukan
Allah dengan amalannya itu.” Surah
Al-Kahfi: 110
Hakikatnya Allah
Maha Kaya dan DIA tidak mengkehendaki apa jua manfaat daripada hamba-hamba-Nya
sekalipun amalan dan kebaikan yang mereka lakukan. Maha Suci Allah daripada
bersifat miskin – punya keinginan untuk mendapat manfaat daripada para
hamba-Nya. Amalan dan kebaikan yang dilakukan oleh manusia bukan untuk Allah
tetapi manfaat itu kembali kepada manusia semula.
Bila kita solat
misalnya, solat itu manfaatnya akan dirasai oleh kita juga. Firman Allah:
“Sesungguhnya
sembahyang itu akan mencegah daripada kemungkaran dan kejahatan.” Surah Al-Ankabut: 45
Ya, solat akan
menyebabkan kita terhalang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Itulah
manfaat solat. Itu amat berguna kepada diri manusia. Manusia yang baik akan
dikasihi oleh manusia lain. Hidup yang selamat daripada kemungkaran dan
kejahatan, adalah hidup yang tenang, aman dan bahagia.
Begitu juga
apabila Allah menyuruh kita melakukan sesuatu atau melarang kita melakukannya,
itu adalah kerana Allah ingin berikan kebaikan kepada kita bukan untuk-Nya.
Inilah rasionalnya di sebalik pengharaman riba, arak, zina, pergaulan bebas,
pendedahan aurat dan lain-lain. Susah atau senangnya untuk manusia bukan untuk
Allah. Tegasnya, jika patuh, manfaatnya untuk manusia. Jika engkar, mudaratnya
juga untuk manusia.
Namun, walau
sesukar mana sekalipun kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah, kita akan
merasa mudah jika Allah sendiri memberi bantuan-Nya. Jika Allah sudah
permudahkan, walaupun seberat mana sekalipun, kita akan mampu mengatasinya.
Allah akan permudahkan kita dengan mengurniakan sifat sabar, istiqamah, syukur
dan redha kepada-Nya. Lihatlah sejarah perjuangan para Rasul dan nabi serta
sahabat-sahabat Rasulullah… kita akan tertanya-tanya mengapa mereka sanggup
menderita, tersiksa bahkan terkorban nyawa untuk mendapat cinta Allah?
Renungilah betapa
Sumayyah rela mengorbankan nyawanya. Begitu juga Mus’ab bin Umair, Hanzalah,
Jaafar bin Abi Talib, Abdullah ibnu Rawahah… mereka semuanya telah syahid di
jalan Allah. Apakah itu susah buat mereka? Mereka sangat menghayati apa yang
pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Jagalah Allah,
nescaya engkau akan temukan DIA di hadapanmu. Kenalilah Allah ketika dalam
keadaan lapang nescaya DIA akan mengenalmu dalam keadaan sempit. Ketahuilah
segala sesuatu yang luput daripadamu tidak akan menimpamu dan sesuatu yang
menimpamu tidak akan dapat luput darimu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu
menyertai kesabaran, kelapangan itu menyertai kesempitan dan kemudahan itu
menyertai kesukaran.” Riwayat
Ahmad, Hakim, Thabrani, Ibnu Sunni, Ajiri dan Dhiya’
Mereka
sesungguhnya merasa bahagia dalam mengharungi penderitaan, merasa mulia dengan
mengorbankan nyawa. Ini semua mudah buat mereka kerana Allah telah melembutkan
hati-hati mereka. Benarlah bila hendak seribu daya, bila mahu sejuta cara.
Kemahuan dan keinginan mereka itu hakikat didorong oleh Allah. Untuk itu,
mintalah simpati dari Allah untuk memudahkan kita mendekatkan diri kepada-Nya.
Bagaimana memohon
simpati daripada Allah? Tidak lain dengan cara berdoa kepada-Nya. Doa itu
adalah senjata orang mukmin. Maksudnya, doa ialah alat atau ubat yang paling
mustajab dan mujarab untuk mendapat hati yang lunak dengan Allah. Namun harus
diingat, doa bukanlah usaha ‘pemberitahuan’ kehendak-kehendak kita kepada Allah
( kerana tanpa diberitahupun Allah sedia mengetahui), namun doa hakikatnya
usaha ‘penyerahan’ diri kita kepada-Nya.
Orang yang berdoa
ialah orang yang mengakui segala sifat kehambaannya di hadapan kekuasaan Allah.
Apakah sifat-sifat kehambaan itu? Antaranya, rasa lemah, hina, jahil, miskin,
berdosa, hodoh dan segala sifat-sifat kekurangan. Berdoa ertinya kita menyerah
pasrah kepada Allah. Kita nafikan segala kelebihan diri. Yang kita akui hanya
sifat keagungan dan kebesaran Allah. Lalu kita inginkan hanya bantuan-Nya. Kita
tagihkan simpati, kasihan dan keampunan-Nya sahaja.
Hanya dengan
mengaku lemah di hadapan Allah kita akan memperolehi kekuatan. Hanya dengan
mengaku miskin di hadapan Allah kita akan dikayaka-Nya. Tegasnya, hanya dengan
merasai segala sifat kehambaan barulah kita akan mendapat kekuatan, kemuliaan
dan kelebihan dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.
Bila Allah telah
hadiahkan kasih dan rindu-Nya kepada kita, kita akan merasa kebahagiaan dan
ketenangan yang tiada taranya lagi. Dalam apa jua keadaan kita akan mendapat
ketenagan. Susah, kita sabar. Senang, kita syukur. Kita bersalah, mudah meminta
maaf. Jika orang meminta maaf, kita sedia dan rela pula memaafkan. Alangkah
bahagianya punya keikhlasan hati yang sebegini?
Itulah hakikatnya
syukur – pada lidah, hati dan amalan. Syukur dengan lidah, mengucapkan tahmid
(pujian) kepada Allah. Syukur dengan hati, merasakan segala nikmat hakikatnya
daripada Allah bukan daripada usaha atau ikhktiar diri kita. Tadbir kita tidak
punya apa-apa kesan berbanding takdir Allah. Dan akhirnya syukur dengan
tindakan, yakni menggunakan segala nikmat daripada Allah selaras dengan tujuan
Allah mengurniakan nikmat itu.
Jika Allah berikan
harta, kita gunakan ke arah kebaikan dan kebajikan. Jika diberi ilmu, kita
mengajar orang lain. Diberi kuasa, kita memimpin dengan adil dan saksama!
Syukur itulah tujuan utama kita dikurniakan nikmat. Ertinya, kita kembalikan
nikmat kepada yang Empunya nikmat (Allah).
-ustad pahrol mohamad juoi-
-ustad pahrol mohamad juoi-
0 komentar:
Posting Komentar